Episoder
-
Memahami orientasi agama yang mewarnai kehidupan keberagamaan kita mengundang kemampuan melihat dinamika sejarah, politik, ekonomi dan budaya yang melatari kefahaman dan kecenderungan tertentu. Menilai kritis orientasi yang mundur, sehingga menggagalkan kefahaman kemanusiaan yang universal dan kenyataan partikular. Maka mentafsir agama, dan membaca dunia mengarah agar kita memastikan ketumbuhan agama dalam kehidupan ini berbuah dengan hidup dan menghidupi.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Masyarakat luar dilihatnya sering memugar idea-idea guru bangsa mereka. Kalau di India, Romila Thapar terus dibincangkan. Di Iran, Ali Shariati juga sama, berterusan dibincangkan. Kenzaburō Ōe di Jepun berterusan diangkat. Dan Indonesia juga sama. Maka, Siri Syarahan Guru Bangsa membawa semangat yang sama. Ikuti temu bual Bersama Faisal Tehrani mengenai hala tuju dan tujuan utama penganjuran kuliah kolektif ini.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Manglende episoder?
-
Dalam Siri Israel-Palestin (Bahagian II), kita telah mengungkapkan bagaimana idea Zionism digerakkan melalui kerja-buat yang tersusun menerusi strategi dalaman dan strategi luaran yang melibatkan penggunaan jaringan Zionist dengan sumber kuasa Imperialis pada waktu itu iaitu British. Dari dukungan kuasa imperialis British yang diperolehi menerusi pelbagai cara serta kelicikan dan kecekapan membaca politik semasa zaman itu dan kemunculan momen-momen sejarah yang dimanfaatkan oleh Zionist dengan strategik, negara penjajah Israel akhirnya berjaya ditubuhkan di tanah air Palestine pada tahun 1948. Bermula dari Nakba pertama pada 15 Mei 1948, malapetaka yang melanda bangsa Arab Palestine tak kunjung padam. Keempat-empat perang yang dilalui oleh mereka bermula dengan perang Arab-Israel 1947-1949, Perang Suez 1956, Perang Enam Hari 1967 dan akhirnya Perang Yom Kippur 1973 kesemuanya berakhir bukan saja dengan kekalahan tetapi juga wilayah tanah air mereka semakin mengecil. Jutaan warga Arab Palestin, Muslim dan Kristian hilang tempat tinggal dan menjadi pelarian di serata dunia. Malapetaka atau Nakba yang dialami oleh bangsa Arab Palestin ini tidak lari daripada kelemahan dan kegagalan negara-negara Arab sendiri yang sepatutnya menjadi benteng pelindung tapi akhirnya gagal untuk mempertahankan tanah air Palestin. Apa punca dan sebab-musabab kegagalan dunia Arab? Bahagian III akan cuba meracik dari sudut sejarah, sosiologi dan politik dunia Arab dalam rangka untuk kita memahami kegagalan mereka dan pada masa yang sama cuba untuk merembah jalan yang lebih cerah buat masa depan bangsa Arab Palestin.
Rakaman ini dibuat pada 21 Jun 2021, sewaktu kemuncaknya pergelutan di Palestine pada tahun tersebut.
---
Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Dalam Bahagian I, yang meracik "Permasalahan Nasionalisme Irredentis", suatu pendekatan teoritis dan konsepsual dikutip melalui analisis sosiologi-sejarah telah dibincangkan buat memahami kelahiran sebuah idea yang menjadi dasar, asas dan sumber kekuatan kepada penjajahan Israel ke atas tanah air Palestin. Idea tanpa gerakan tidak akan menjadi kenyataan. Gerakan tanpa idea hanya akan membawa kepada kebuntuan. Israel adalah sebuah projek negara-bangsa moden yang "berjaya". Dari tiada menjadi ada. Dan daripada ada menjadi semakin besar, menguat dan mengukuh. Menjayakan cita-cita Zionism bukan hanya berlegar seputar idea semata-mata tetapi juga digerakkan dari sebuah gerakan yang tersusun. Zionism adalah sebuah gerakan moden yang bersumberkan unsur-unsur masa silam, dan diolah serta disusun semula menggunakan mekanisme aparatus masa kini bagi merealisasikan cita-cita membina negara di wilayah yang dianggap mereka sebagai "historical homeland". Perbincangan pada episod kedua ini akan menumpukan kepada Zionisme sebagai sebuah gerakan politik, budaya, ekonomi dan ketenteraan yang berjaya bukan hanya kerana kekuatan ideanya yang menangkap sentimen masyarakat Yahudi terbanyak tetapi juga kerana tenaga-tenaga sosial yang bergerak telah turut berjaya dimanfaatkan dengan strategik dan berkesan oleh pemikir, aktivis, politikus dan kepimpinannya. Proses sejarah yang dilalui oleh gerakan Zionisme sehingga melahirkan negara Israel adalah suatu usaha berterusan yang bersandarkan konsep "menyemai benih dari masa silam, menyiram pokok pada masa kini, dan menuai buah untuk masa depan".
Rakaman ini dibuat pada 5 Jun 2021, sewaktu memuncaknya pergelutan Israel-Palentine pada tahun tersebut.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Israel-Palestin adalah sebuah tragedi kemanusiaan yang tak terselesai sehingga ke hari ini. Israel sebagai sebuah entiti politik menjadi "negara" pada tahun 1948 dalam suatu proses sejarah yang panjang, berliku dan penuh darah. Korban kepada kelahiran Israel adalah Palestin. Diberikan hanya sekadar status "negara pemerhati bukan anggota" oleh Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) pada 2012, perjuangan rakyat Palestin untuk merebut kembali tanah air mereka berterusan. Meneropong dari kacamata teori nasionalisme sebagai sebuah idea yang mengutip sumber-sumber sejarah dan budaya terdalam di masa silam serta gerakan politik yang mencitakan sebuah wilayah tanah air untuk bangsanya sendiri, Israel dari tiada menjadi ada dan semakin membesar. Manakala Palestin dari ada menjadi semakin mengecil. Perbincangan yang meliputi 3 episod ini akan cuba untuk meracik persoalan Israel-Palestin dengan lebih halus menggunakan kaedah "longue duree" dan pendekatan sosiologi-sejarah untuk memahami khususnya bagaimana "negara" Israel terbentuk dan bagaimana pula Palestin tersudut serta kegagalan dunia Arab khususnya dan masyarakat dunia amnya untuk menyelesaikan permasalahan yang telah menjadi semakin rumit ini.
Rakaman ini dibuat, pada 29 Mei 2021, sewaktu kemuncaknya pertembungan Israel-Palestine pada tahun tersebut.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Gerakan Reformasi selalu terlihat sebagai sebuah gerakan yang beridentitikan kepada sosok Anwar Ibrahim. Namun ia sewajarnya tidak berhenti di situ sahaja. Gerakan Reformasi adalah sebuah titik penting perubahan dalam lanskap sosio-politik negara ini. Gerakan Reformasi bukan hanya sebuah gerakan politik namun telah menjadi pemangkin kepada pembentukan aktif tenaga-tenaga sosial baharu seperti organisasi masyarakat sivil dan perkumpulan kolektif yang kemudiannya menjalar dalam mengubah idea, pemikiran dan wacana dalam masyarakat. Lalu, 25 tahun lewat kemunculan Gerakan Reformasi ini, kita menyusur garis masa, mengamati masyarakat Malaysia yang telah tumbuh mekar percikan daripada gelombang reformasi dan merenungkan dilema-dilema baharu Malaysia untuk menjadi lebih baik di masa mendatang. Mad Koy, 25 tahun yang lalu, turun ke jalan raya melarut bersama gelombang Reformasi yang meledak, dan kini sebagai pemerhati politik dan budaya, beliau akan menyusur ingatan sepanjangan 25 tahun reformasi bersama kita semua.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Abdullah Munshi tidak ternafi adalah seorang sosok cendekiawan bangsa. Namun polemik seputarnya sentiasa ada. Terbaharu, Abdullah Munshi digelar sebagai khadam penjajah oleh seorang tokoh politik Malaysia. Persoalannya, apakah perspektif yang tepat untuk kita mengerti, siapakah Abdullah Munshi yang sebenarnya? Khadam penjajah atau guru bangsa? Dalam syarahan ini, Dr. Faizal Musa (Faisal Tehrani) merincikan kesosokan Abdullah Munshi dan sisi-sisi beliau daripada sorotan karyanya dan catatan-catatannya semenjak akhir abad ke-19.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Dalam episod ini, Azan Safar menemubual Syed Husin Ali, penyusun dan penulis buku baharu terbitan Pusat Sejarah Rakyat yang berjudul Tokoh-Tokoh Pejuang Rakyat. Menerusi buku ini, dihimpunkan 28 orang tokoh pejuang kemerdekaan Malaysia meliputi segenap dimensi masyarakat, yang kebanyakan mereka adalah di luar kerangka sosok pejuang yang arus perdana.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Ilmu Mandiri tidak tergagas untuk berhadapan satu-satunya eurosentrisme, tetapi juga melawan dan membebaskan segala bentuk orientasi kekuasaan yang memasung alam fikir masyarakat di negara jajahan. Selain teori, metodologi ilmu yang berteraskan kaedah ilmiah semata juga telah mengucilkan tradisi intelektual peribumi yang lebih luas. Pengiktirafan yang selalu ditagih dari Barat menambahkan krisis keilmuan dalam ranah ini. Ilmu Mandiri akan sentiasa berhadapan kekangan sementelah institusi dan autoriti juga tertawan mindanya. Ikuti bahagian akhir perbualan Azan Safar dan Syed Farid Alatas dalam mencerakinkan Ilmu Mandiri dalam menghadapi krisis keilmuan ini.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Eurosentrisme yang menggarisbawahi sistem pendidikan bekas negara jajahan memberikan dampak manipulatif dalam proses penghasilan ilmu di rantau ini. Eurosentrisme bukan sahaja telah 'mengetepikan' dan 'mendiamkan' gagasan keilmuan peribumi malah ia juga mengasingkan ahli cerdik pandai peribumi daripada tradisi intelektual mereka sendiri. Maka Ilmu Mandiri tampil sebagai sebuah gagasan untuk membereskan manipulasi dan membetulkan kembali lensa alam fikir kita yang kabur berkiblatkan sumber ilmu Eropah semata. Ikuti bahagian satu dalam perbualan Azan Safar bersama Syed Farid Alatas seputar hal yang mengasak ini.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
"Buku adalah wasilah," ujar Abang Rosli Ibrahim, dan dia mula membibit dalam sedu, kisah si ayahnya membawa pulang buku yang dikutip dari tong sampah untuk anaknya membaca. "Apa sahaja yang kau lalui, harus ada cinta kepada pengetahuan," ujarnya lagi, dan untuk Abang Rosli, ayahnya adalah intelektual sejati. Sosok ayahnya, saban seusai menarik beca, akan memperuntukkan sedikit wang untuk membeli buku dan akhbar untuk anak-anaknya membaca. "Ramai orang membaca, tetapi tidak merasa gelisah," sambungnya lagi.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
#PRNJohor melabuhkan tirai, dengan Barisan Nasional kembali ke tampuk kuasa pemerintahan yang membawa bersamanya lebih 2/3 bilangan kerusi DUN. Dalam siri #MeracikIsu kali ini, Koi, Azizi, dan Azan bersama-sama membuat sorotan dan menganalisa fenomena politik negara, masa depan politik Melayu, keberantakan etnik dan undi, dan persoalan-persoalan seputarnya. Analisa yang diperikan melalui sudut pandang sosiologikal menjadi landasan perbincangan dalam memberi faham bagaimana operasi politik yang berlaku di Malaysia, dan PRN Johor adalah kajian kes yang terkini untuk diperhatikan. Pemerhatian pada tingkat individu, masyarakat dan institusi memberikan penjelasan yang masuk akal akan senario politik yang kita gulati kini dan ke mana arah tuju perginya. Dalam Bahagian I, tumpuan diberikan khusus terhadap Pilihan Raya Negeri Johor, dan Bahagian II yang akan menyusul, memberi tumpuan kepada analisa dan jangkaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Temasya #MenganyamNusa melabuh tirai dengan wawancara khas bersama Tun Dr. Mahathir pada 16 Sept. Untuk menutup, Azan Safar dan Teo Lee Ken, masing-masing mewakili Kawah Buku dan Institut Nyala—pekumpulan di belakang temasya ini, duduk bersama dan menyorot kembali keseluruhan temasya bermula dari perbincangan bersama kumpulan Orang Asli, seterusnya ingatan ratifikasi Perlembagaan Malaysia, dan tentang muzik, sastera, serta hal-hal berselirat dengan identiti kebangsaan.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Sebahagian masyarakat Malaysia membenci Mahathir. Bagi mereka, Mahathir adalah punca segala yang salah dan silap pada Malaysia hari ini. Sebahagian lagi menyanjungi Mahathir. Bagi mereka, segala kemajuan infrastruktur, pembangunan dan kemodenan Malaysia pada hari ini adalah hasil buah tangan Mahathir. Sosok enigma yang tidak mudah untuk dikategorikan secara perduaan (binary). Hitam, putih, kelabu dan warna-warna lain tersulam di dalam anyaman biografi seorang Mahathir. Tapi suatu hal yang jelas ialah Mahathir adalah gergasi politik Malaysia. Legasi beliau baik yang positif, mahu pun negatif sudah terpahat kejap dalam perjalanan sejarah Malaysia. Bermula sebagai seorang nasionalis Melayu, Mahathir kemudiannya diberi amanah untuk menerajui Malaysia bukan sekali, tapi dua kali. Sepanjang tempoh Mahathir memimpin Malaysia sebanyak dua kali itu, keperluan untuk mengimbangi antara dilemma Melayu yang digeluti beliau dan Bangsa Malaysia yang dicitakan beliau adalah antara kerumitan yang tak terselesai. Justeru, wawancara khas ini akan cuba merungkai beberapa jalur anyaman yang tersulam di dalam idea yang mendasari pemikiran Mahathir, khususnya mengenai persoalan dilema Melayu, Bangsa Malaysia, identiti kebangsaan, keseimbangan ekonomi antara kaum, hubungan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, sistem nilai masyarakat, korupsi dalam politik Malaysia, serta pergulatan antara Islam dan politik. Apakah idea dan pemikiran Mahathir masih relevan atau sudah usang atau memerlukan pengubahsuaian, sama-sama kita nilai dengan kritis menerusi wawancara khas bersama beliau ini.
Wawancara bersama Tun Dr. Mahathir dikendali sepenuhnya oleh Azan Safar dan Ruhan Shahrir dari Kawah Buku, pada 18 Ogos 2021. Penghargaan turut buat Perdana Leadership Foundation dan pasukan Tun Dr. Mahathir yang telah membantu menjayakan sesi wawancara ini berlangsung.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Apakah pernyataan sikap yang sepatutnya kita ambil untuk meneruskan perjuangan meletakkan nama negara di persada antarabangsa ini? Apakah kita hanyalah mahu mengucapkan "merdeka, merdeka, merdeka" beberapa banyak kali sambil mengibarkan bendera Malaysia? Sepertimana kita melakukannya beberapa kali pada tahun-tahun sebelum ini? Sekadar mengulang sebelum-sebelum ini? Tanpa mengambil sikap menyatakan bahawa kita mesti mendapatkan maksud "merdeka" itu? Atau cukup sekadar mendapatkan maksud perkataan "merdeka" itu, tanpa ambil pusing tentang bagaimanakah boleh diterjemahkan maksud "merdeka" itu kepada pengujaran dan perbuatannya? Perlulah kita membincangkan apakah yang dipanggil perbuatan yang menerjemahkan makna perkataan “merdeka” itu? Apakah erti merdeka pemikiran? Apakah ertinya merdeka pengucapan? Apakah ertinya merdeka perbuatan? Cukupkah sekadar itu?
Syarahan khas oleh Dr. Alinor Kadir, pengasas Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia (PPFPM). Dimudahcara oleh Azan Safar dari Kawah Buku. Syarahan ini ditayangkan secara langsung pada 11 September 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Klip video penuh boleh ditonton menerusi saluran Youtube Kawah Buku.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Kesedaran dan kepedulian masyarakat Malaysia dalam isu dan nasib OKU masih rendah. Kejadian terbaru di mana seorang atlet paralimpik Ukraine telah dikecam dengan dasyat oleh netizen Malaysia, termasuk hantaran-hantaran berupa penghinaan dan makian yang mempermainkan fizikal dan kecacatan atlet tersebut mencerminkan betapa runcingnya tahap pemikiran serta nilai masyarakat Malaysia dalam mendepani isu-isu OKU. Justeru itu persoalannya ialah mengapakah masih wujud nilai dan pemikiran yang sebegini teruk dalam masyarakat Malaysia walaupun kita sudah 64 tahun Merdeka dan bakal pula merayakan hari Malaysia yang ke-58 tidak lama lagi? Pernah tak berapa lama dahulu telah viral sebuah video seorang pemimpin gerakan mahasiswa Islam yang melakukan penghinaan terhadap OKU setelah mengambil tempat letak kereta yang dikhaskan untuk OKU. Adakah cara faham komuniti beragama terhadap OKU bermasalah sehinggakan pemimpin dari sebuah gerakan mahasiswa Islam melakukan penghinaan sebegitu rupa?
Atau apakah pemikiran dan nilai masyarakat yang kehilangan empati serta belas ehsan itu juga adalah sebuah menifestasi daripada sikap kerajaan Malaysia sendiri yang tidak peka, tidak peduli dan malahan sering pula meminggirkan isu-isu OKU dalam pembuatan dasar-dasar negara? Atau apakah ketidakpedulian terhadap isu-isu OKU ini berakar umbi dari budaya masyarakat kita sendiri yang sering mendiamkan atau menyembunyikan sesuatu yang dianggap "cacat"? Kalau ianya telah menjadi suatu budaya, apakah ianya terhasil daripada interaksi-interaksi sosial yang berlaku antara anggota masyarakat dengan media misalnya. Bagaimana media, baik bercetak mahupun elektronik, dari surat khabar, radio, televisyen, buku dan novel hinggalah kepada media sosial menggambarkan OKU? Di mana OKU dalam naratif media-media ini? Bagaimana pula OKU sendiri memperjuangkan nasib dan kebajikan mereka? Apakah kerumitan-kerumitan yang wujud dalam melakukan advokasi, berurusan dengan kerajaan dan masyarakat serta cabaran-cabaran untuk menggembeleng kesatuan sama ada dari OKU sendiri atau ibu-bapa dan keluarga OKU bagi perjuangan untuk Cita Malaysia yang lebih baik adil dan terangkum buat OKU?
Perbincangan ini membawakan 3 sosok iaitu Rosli Ibrahim (penulis), Ikmal Hisham Md Tah (Pensyarah Undang-Undang UiTM) dan Adhura Husna (BOLEH SPACE). Bual bicara ini ditayangkan secara langsung pada 8 September 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Klip video penuh boleh ditonton menerusi saluran Youtube Kawah Buku.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Muzik dan lagu tidak hanya berfungsi sebagai hiburan semata-mata. Bermula mungkin sebagai suatu persembahan buat entiti metafizik yang dianggap sebagai maha kuasa samada dalam bentuk tuhan, dewa, makhluk ghaib atau semangat yang dipercayai oleh sesuatu komuniti itu, kini menerusi proses pemodenan masyarakat, muzik dan lagu juga telah menjadi sumber peluahan ekspresi diri individu, bahan komoditi perdagangan dan perniagaan, produk pelancongan, alat kuasa lunak (soft power) serta identiti sesuatu bangsa, etnik dan suku kaum serta boleh juga berfungsi sebagai pembangkit kesedaran serta perlawanan. Muzik dan lagu juga turut digunakan oleh negara (state) sebagai suatu sarana untuk propaganda kerajaan dan usaha-usaha negara dalam membina kesedaran kebangsaan bersama khususnya buat negara-negara yang rencam budaya. Malaysia sebagai sebuah negara yang rencam budaya tentunya tak terelak dalam usaha mentakrifkan muzik dan lagu sebagai sebahagian daripada identiti kebangsaan yang ingin ditonjolkan. Mungkin terdapat lima aras analisis yang boleh diteroka dalam konteks perbahasan tentang muzik, lagu dan identiti kebangsaan ini. Pertamanya takrif negara, keduanya takrif negeri-negeri yang ada dalam Persekutuan Malaysia, ketiganya takrif daripada masyarakat yang berbilang etnik dan suku kaum yang ada di Malaysia, keempatnya takrif pasar (market) tempatan serta antarabangsa, dan kelimanya takrif individu yang menghasilkan dan pengguna yang mengkonsumsikannya. Modeniti (modernity) dengan segala aparatus, tanda, simbol, fungsi, kehendak, situasi dan ideologi-ideologi yang mengiringinya telah menjadikan persoalan muzik, lagu dan identiti kebangsaan sesuatu yang rumit, kompleks dan mencabar untuk diuruskan.
Di satu sisi proses globalisasi dan kapitalisme pasar yang cenderung menghakis identiti tempatan termasuk muzik dan lagu. Di satu sisi yang lain terdapat kebangkitan dan perlawanan yang dilakukan oleh aktivis-aktivis budaya tempatan terhadap proses penyeragaman identiti menerusi globalisasi. Manakala di satu sisi lain pula yang masih menjadi tandingan di tingkat kebangsaan ialah kita sesama kita warga Malaysia masih bergelut dan bergulat untuk mentakrifkan identiti kebangsaan Malaysia. Walaupun Dasar Kebudayaan Kebangsaan sudah 50 tahun berlalu, persoalan identiti kebangsaan masih belum terselesai. Justeru, dalam menangani kerumitan modeniti (modernity) khususnya dalam konteks pembinaan identiti kebangsaan dan hubung-kaitnya dengan muzik serta lagu, sebuah perbincangn melibatkan tiga orang pakar dalam bidang seni dan muzik iaitu Eddin Khoo (PUSAKA), Adil Johan (KITA UKM) dan Shazlin Amir Hamzah (KITA UKM), serta dimudahcara oleh Johan Ariff (Iqbal M), untuk membahas, merungkai dan seterusnya mencerahkan kita dalam perbincangan sempena dengan Bulan Hari Kebangsaan dan Bulan Hari Malaysia yang sama-sama kita sambut pada tahun ini.
Bual bicara ini ditayangkan secara langsung pada 3 September 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Klip video penuh boleh ditonton menerusi saluran Youtube Kawah Buku.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Perlembagaan merupakan undang-undang asas dan sumber tertinggi perundangan bagi sesebuah negara moden. Perlembagaan menyediakan corak kerajaan dan perincian kepada pengagihan kuasa antara pelbagai badan kerajaan dan had-had kerajaan ke atas yang ditadbir. Undang-undang asas ini yang ada dalam kebanyakan negara telah berkembang melalui proses sejarah yang panjang dan boleh dijejaki ke masa silam. Pada zaman moden perlembagaan adalah suatu penyataan perwakilan kepada keinginan kolektif rakyat. Begitu hal-nya turut berlaku dalam negara moden bernama Malaysia. Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak terbentuk dalam hampawa. Ada konteks dan proses sejarah yang panjang, malah mungkin boleh dijejak sedari beratus tahun dulunya. Selembar kertas perlembagaan tersebut, menjadi petunjuk asas kepada aspirasi, cara bertatih, suara paling dalam, lunak impian segenap warga yang mendiami ranah bernama Malaysia. Tanggal 27 Ogos 1957, lembaran perundangan ini berjaya diratifikasi dan "came into force". Bermula dari tarikh kemerdekaan sehingga ke hari ini, lembaran tersebut sudah mengalami beberapa pindaan—semuanya atas maksud untuk menyesuaikan pada konteks semasa, hal berbangkit, dan keadaan tertentu yang memerlukan kepada sebuah pindaan.
Menerusi siri #MenganyamNusa, bersempena tarikh ratifikasi tersebut, kita membuat ingatan kembali, menelusur jalan-jalan sejarah sehingga lembaran perundangan ini diratifikasi bersama DUA orang peguam, iaitu GK Ganesan (GKtv) dan Azira Aziz (Messrs Azira Aziz), menyelongkar sisi-sisi yang mungkin jarang kedengaran. Perbincangan ini penting, sekurangnya itu yang kami fikir, kepada usaha pembinaan identiti Bangsa Malaysia.
Bual bicara ini ditayangkan secara langsung pada 27 Ogos 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Klip video penuh boleh ditonton menerusi saluran Youtube Kawah Buku.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Catatan sejarah merekodkan Orang Asli mempunyai kedudukan penting dalam unit politi keRAJAan Melayu sebelum kolonial menjarah Tanah Melayu. Peranan penting yang dimainkan dalam membekalkan sumber alam kepada orang Melayu untuk didagang menjadikan orang darat dan orang laut menjalin kerjasama yang istimewa bersama pembesar keRAJAan pada ketika itu. Pada suatu ketika juga, Orang Asli mempunyai kedudukan yang tinggi dalam struktur kepimpimpinan masyarakat, seumpama Biduanda Waris di Negeri Sembilan. Namun menjengah 60 tahun tahun selepas merdeka, naratif ini telah lenyap sama sekali. Naratif gantinya adalah penindasan dan perlawanan dengan tangan yang diikat dalam mempertahankan hak, identiti dan warisan Orang Asli. Justeru persoalan yang besar, dalam pada Malaysia mengecapi sebuah kemerdekaan—dan segala nikmat sentosanya, di manakah Orang Asli di balik sela-sela perjalanan panjang naratif pembebasan ini?
Perbincangan ini, membuka tirai #MenganyamNusa, membawakan dua orang narasumber dari Suku Semai iaitu Dayoung Shaniera Seliman dan Mahat Akiya, yang sudah acap kali menimbulkan soal yang sama. Hari ini kita belum ketemu sebarang jawapan, atau mungkin sudah ada, tetapi sisi-sisi lain pula tidak membantu untuk mengubah kembali naratif pembebasan ini. Kami mengajak pendengar turut serta dalam perbincangan ini, bertanyakan soalan, melemparkan pandangan, dengan harapan sebuah kesedaran boleh dirungkai dan dijadikan suatu loncatan untuk perubahan boleh berlaku.
Bual bicara ini ditayangkan secara langsung pada 22 Ogos 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Klip video penuh boleh ditonton menerusi saluran Youtube Kawah Buku.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message -
Siri #MenjadiMalaysia memasuki bahagian terakhir bersama Dr. Alinor dalam membincangkan kerajaan Champa, dengan perbincangan dimulakan pada topik mengapa kajian mengenai Champa mengundang risiko dari sudut politik antarabangsa. Hal ini dijelaskan oleh Dr. Alinor, akan sejarah gerakan pemberontakan dan kemerdekaan Champa dari negara Vietnam. Perkara ini telah mengundang kesukaran buat para pengkaji khususnya, apabila kajian-kajian mengenai Champa tidak mudah dilakukan dalam negara Vietnam, atas faktor pemantauan pihak berkuasa di sana. Perbincangan turut menyentuh persoalan penting mengenai hubungan antara kerajaan Champa dan kerajaan-kerajaan lama di Semenanjung Tanah Melayu. Dr. Alinor juga berkongsikan beberapa teori penting yang perlu para pengkaji Champa kuasai untuk mengkaji dan memahami wacana pensejarahan Champa secara mendalam.
--- Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/kawahbuku/message - Vis mere